Isnin, 17 Jun 2013

Kita sebagai Apa yang kita fikirkan


Apa yang kita percayai dan yakini itulah yang kita buat dan lakukan (amalan hidup); dan apa yang kita buat dan apa yang kita tidak buat akan jadi "warisan" (legacy) setelah kita berpindah sekolah. Apabila kita secara tekal berfikir, bertindak (beramal) dan mengutamakan motif diri kita inilah kemudiannya yang digelar sebagai sikap. Oleh itu kaitan antara pemikiran, perbuatan atau tingkah-laku dan kepercayaan (beliefs) amatlah saling berkait rapat dalam membezakan seseorang personaliti dengan personaliti yang lain.

Jika kita fikirkan mengajar bersungguh-sungguh tidak penting (asal ajar sudah) maka kerja mengajar kita jadilah sebagaimana seadanya sahaja, dan di mata anak didik kita dilabel sebagai "guru malas". Begitu juga jika kita fikir datang awal atau masuk kelas segera sebagai tidak penting maka jadilah kita orang yang sentiasa 'lengahkan waktu' dan seolah-olah tidak berminat dalam pekerjaan kita sendiri.Atau apa yang kita asyik lebihkan masa berborak dan bersembang (termasuk adu domba, fitnah, hasut-menghasut, apatah lagi berpolitik) daripada mengajar anak didik sebaik-baiknya, maka jadilah kita orang-orang yang utamakan kerja yang tidak berkenaan dan mengabaikan kerja utama dan kerja yang wajib ke atas kita. Pendeknya inilah yang dikatakan segala yang kita fikir, yakni menjadi 'kepercayaan kita' maka kita pasti melakukan segala 'kebejatan' ini yakni apa yang kita amalkan setiap hari sehingga menepati Hukum Ganjaran yakni "Apa Yang Disemai Itulah Yang Dituai"; dan inilah menjadi "warisaan" kita yang kita tinggalkan nanti.

Jadilah Guru Sebenar Guru: Ke Sekolah Tidak Jemu Mengajar Tidak Lesu
Setiap sesuatu di dunia ini mempunyai dua wajah; positif atau negatif; hitam atau putih; buruk atau baik; cemerlang atau kecundang; begitu juga sikap dan perlakuan kita sebagai guru-guru yang bukan sahaja profesional sifatnya malah menunjukkan ciri-ciri profesionaliti yang tinggi sepanjang masa. Antara ciri-ciri membezakan antara guru yang profesional dengan guru yang tidak; rujuk senarai semak berikut, dan marilah kita menukar sikap, persepsi dan posisi kita agar menjadi lebih perkasa dan berwibawa dalam melaksanakan tugas mulia sebagai seorang guru. 

Guru yang Profesional 
Mula kerja awal pagi
Sedia bergerak awal hari
Mengurus dengan merancang 
Ada perancangan & matlamat 
Berpakaian secara 'profesional' 
Guna waktu luang sebagai waktu 'kerja'
Suka ikuti latihan kerana berikan perkembangan profesional 
Dalam mesyuarat mereka duduk di mana mereka boleh belajar 
Cari perkara-perkara untuk dipuji 
Berusaha cari punca sesuatu tidak berjalan 
Sedia buat keputusan dan selesai masalah 
Lihat pentadbir sebagai rakan kongsi dalam pendidikan 
Melanggan dan membaca jurnal profesional
Mendapat penghormatan setiap hari 
Kembangsuburkan kerjaya mereka 
Rasa dan bertindak 'empowered' 
Sedia untuk belajar dan dapatkan bantuan 
Belanja wang untuk perkembangan profesional atau untuk bilik darjah
Percaya anak didik boleh belajar, dan lihat tugas mereka membantu proses ini 
Melihat pekerjaan 'mengajar' sebagai satu profesion paling mulia. 

Guru yang tidak Profesional 
Mula kerja setelah loceng berbunyi
Sudah pun letih di awal pagi
Mengurus dengan krisis 
Ada berbagai alasan
Berpakaian selekeh
Guna waktu luang mengumpat dan mengeji 
Komplen tentang latihan dan pelik mengapa ianya perlu
Dalam mesyuarat mereka duduk di tepi pintu
Cari perkara-perkara untuk dikomplen
Salahkan orang lain bila sesuatu tidak berjalan
Bertanya "Apa patut saya buat?"
Lihat pentadbir sebagai tempat melepaskan geram
Fikir jurnal profesional sebagai membazirkan wang sahaja
Merungut kerana tidak dapat penghormatan 
Buat yang terbaik Buat apa orang lain buat
Bimbang tentang kerja mereka
Rasa dan bertindak seperti mangsa
Tidak sedia belajar atau terima bantuan
Enggan belanja untuk perkembangan profesional atau untuk bilik darjah
Percaya anak didik degil, tidak bertanggungjawab, dan malas
Melihat kerja mengajar sebagai satu kerja dengan gaji lumayan sahaja.

Memenuhi Tuntutan "Guru Mengajar Murid Belajar"
Objektif kita akhirnya ialah memenuhi tuntutan konsep "guru mengajar murid belajar" dapat direalisasikan pada tahap paling optimum dan dapat pula kita buktikan menerusi kerja-buat kita setiap hari dan waktu. Bagi mencapai tahap ini semua kita mestilah membetulkan iman (kepercayaan), bual (percakapan), dan amal (segala perlakuan) kita
sentiasa selaras antara ketiga-tiga aspek tersebut.
Memenuhi tuntutan "Guru Mengajar Murid Belajar" pula perlukan semua kita menjadi guru-guru yang sebenar guru "Ke Sekolah Tidak Jemu Mengajar Tidak Lesu"; yang membawa erti seseorang guru itu penuh iltizam, dedikasi, komited dan bertanggungjawab tidak akan mengkhianati tugasnya dan murid-muirdnya. Prinsipnya ialah guru-guru mesti faham bahawa tugas 'mengajar dan mendidik' pekerjaan yang sangat mulia. Janganlah rosakkan 'kemuliaan tugas' ini dengan perangai dan gelagat yang tersasar jauh daripada etika dan adab seorang guru yang mursyid. Guru-guru mestilah menganggap pergi ke sekolah sebagai pergi ke medan jihad dan kerja mengajar (tanpa muslihat dan tipu helah) sebagai suatu ibadah. Guru-guru begini tidak akan cepat menyalahkan keadaan dan tempat sebelum menyalahkan diri terlebih dahulu di samping berusaha meningkatkan ketrampilan dan kewibawaan diri.

Guru Sebenar Guru
tidak akan melakukan sesuatu yang akan merosakkan organisasi seperti: selalu ponteng; banyak beri alasan dan helah; sering mengelakkan diri daripada menerima tugas dan tanggungjawab; menganggap sekolah hanya tempat kerja 'sementara' atau selalu beri alasan 'tidak cukup masa'. Guru sebenar guru tidak menunjukkan ciri-ciri “orang malas' ketika di dalam kelas tetapi sebaliknya mengajar dengan penuh ceria dan dengan penuh semangat serta bersungguh-sungguh, memeriksa buku-buku tanpa bertangguh.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan